Saturday, March 9, 2013

Adibah tokoh terjemahan

04 Oct 2012 - Berita Harian
Tokoh penulis, Khalidah Adibah Amin, 76 dianugerahkan Tokoh Terjemahan Negara 2012, semalam.
Anugerah itu julung kali diperkenalkan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).
Anak jati Johor yang terbabit dalam bidang penterjemahan sejak 1972 itu menerima 1972 itu menerima wang tunai RM 10,000,  plak dan sijil penyertaan daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin Yassin.
Adibah berkata, beliau gembira dan terharu dengan anugerah itu dan mendedikasikannya kepada idola beliau, Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad.
Empat dekad
Sepanjang pembabitannya empat dekad dalam bidang penterjemahan, menganggap cabaran paling besar adalah perbezaan makna antara dua bahasa.
“Kadang-kadang bunyinya sedap dalam satu bahasa, tapi tak sedap dalam bahasa lain.
“Buku paling mencabar pada saya untuk diterjemahkan adalah tugasan pertama saya, Ranjau sepanjang Jalan  (No Harvest But Thorn), karya Shahnon,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Terjemahan Negara ITBM-PPM 2012.
Hadir sama Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Presiden Prof Emeritus Abdullah Hassan.
Antara terjemahan Adibah yang terkenal termasuk Sebelum Terlewat oleh Aurelio Pecei dan Daisaku Ikeda pada 1988, Jungle of Hope oleh Keris Mas (2000) dan The Sky is Going to Fall oleh Khadijah Hashim (2000).
Insentif RM 1 juta
Terdahulu, Muhiyyidin dalam ucapannya, mengumumkan skim insentif RM 1 juta mulai tahun depan bagi memperkasakan bidang penterjemahan negara, khusus untuk penterjemah.
Beliau, yang juga Menteri Pelajaran, berkata skim itu akan diuruskan ITBM dan PPM bertujuan menggalakkan penterjemah menjalankan kerja penterjemahan sepenuh masa dalam usaha meningkatkan hasil terjemahan yang bermutu.
“Penterjemahan kepada bahasa Melayu dilihat bagi bidang sains, teknologi, pengurusan dan agama kerana jika ia tidak diterjemah , mungkin ilmu berkenaan tidak dapat dihasilkan untuk bacaan anak-anak kita.
“Dengan sokongan ilmuwan dan sarjana negara kita, saya yakin usaha menterjemah karya penting dalam pelbagai bidang dapat dilakukan,” katanya.
Muhiyiddin juga percaya, ITBM dan PPM dapat mewujudkan jaringan dengan pelbagai institusi , khususnya university tempatan dan badan penyelidikan bagi merancakkan usaha menterjemah bahan ilmiah terbaru.
Adibah tokoh terjemahan

No comments:

Post a Comment